Di bawah ini saya kongsikan prosedur permohonan untuk berkahwin di Negeri Johor sambungan dari Prosedur permohonan untuk berkahwin di Negeri Johor – Part 1 of 2 .

Langkah 2 : Membeli Borang Permohonan Nikah
– Borang Permohonan Nikah boleh dibeli dengan harga RM5/set dari Pejabat Agama Daerah di negeri Johor dan hanya sah kegunaannya di negeri Johor sahaja.
– Bagi sesetengah Pejabat Agama, pembelian borang tersebut tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa.
– Sesetengah Pejabat Agama mungkin boleh menerima wakil dengan syarat salinan kad pemohon disertakan.
– Borang permohonan yang lengkap boleh dihantar seawal 3 bulan atau paling lewat 2 hingga 4 minggu sebelum tarikh bernikah.
– Semasa membeli borang, pastikan segala senarai dokumen yang diperlukan diperolehi dari Pejabat Agama daerah masing-masing.
– Jika pasangan dari negeri lain, pasangan perlu mendapatkan Borang Permohonan Nikah dari negeri asalnya.
– Borang Permohonan Nikah negeri Johor adalah di dalam tulisan jawi, tetapi pemohon boleh mengisinya di dalam tulisan rumi.
– Borang permohonan terdiri daripada 2 jenis borang :
i) Borang 1 – Borang Permohonan oleh Lelaki untuk kebenaran berkahwin
ii) Borang 2 – Borang Permohonan oleh Perempuan untuk kebenaran berkahwin
– Borang Ujian Saringan HIV lengkap dengan sampul juga disertakan bersama tetapi perlu dibeli dengan harga RM5/set
– Dapatkan Surat Akuan Status Diri / Surat Akuan Bujang dari Pejabat Agama


Langkah 3 : Isi Borang Permohonan lengkap

Pra-syarat berkahwin yang kedua-dua pihak perlu patuhi :-
a) Menghadiri Kursus pra-perkahwinan sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum tarikh pernikahan dan mendapatkan Sijil Kehadiran Kursus.
b) Sekiranya janda atau duda, mendapatkan sijil penceraian atau kematian pasangan yang dahulu.
c) Sekiranya masih bujang, mendapatkan pengesahan mengenai status bujang dari Penghulu atau Ketua Kampung atau majikan yang beragama Islam.
d) Sekiranya saudara baru, mendapat Akuan Memeluk Agama Islam atau Sijil Pengenalan Saudara Baru yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah.
e) Sekiranya tinggal di alamat yang berlainan dari yang dicatit pada kad pengenalan, perlu mendapat Pengesahan Bermastautin dari Ketua Kampung atau Penghulu.

Langkah 4 : Mendapatkan tandatangan 2 saksi untuk Borang Permohonan dan tandatangan Wali
– Saksi untuk borang permohonan terdiri daripada 2 orang lelaki yang bukan di kalangan keluarga dan ia hanyalah untuk saksi dalam bagi borang permohonan nikah ini sahaja.
– Wali diperlukan untuk menandatangani borang permohonan nikah ini.

Langkah 5 : Surat Akuan Status Diri
– Dapatkan Surat Akuan Status Diri / Surat Akuan Bujang dan hanya ianya boleh diperolehi oleh satu satu daripada berikut :
i – Penghulu
ii – Ketua Kampung
iii – Majikan beragama Islam;
iv – Surat kebenaran PDRM (untuk anggota polis)
v – Surat Kebenaran KAGAT (untuk anggota tentera)
– Sila bawa seorang saksi semasa hendak menandatangani surat ini
– Maklumat penghulu atau ketua kampung boleh dirujuk di Pejabat Tanah dan Daerah yang berdekatan tempat tinggal masing-masing.

Langkah 6 : Ujian Saringan HIV
– Laporan Pengesahan Pemeriksaan Kesihatan (HIV) hanya boleh diperolehi dari Hospital atau Klinik Kerajaan Malaysia Sahaja.
– Ujian di klinik Kerajaan hanya perlu bayar RM1 sahaja tetapi perlu merujuk kepada jadual waktu tertentu untuk menjalani ujian ini.
– Berbanding jika ujian saringan HIV di klinik swasta, jumlah perkhidmatan yang dikenakan adalah RM25.
– Sebelum ujian HIV dijalankan, pemohon perlu mengisi satu borang yang dikeluarkan oleh pihak klinik terlebih dahulu.

Langkah 7 : Menyediakan salinan dokumen berkenaan
Pastikan salinan dokumen seperti berikut disediakan :
a) Kad pengenalan bakal pengantin lelaki
b) Kad pengenalan bakal pengantin perempuan
b) Kad pengenalan Wali
c) Kad pengenalan Saksi Borang (2 lelaki)
d) Sijil Kursus Pra Perkahwinan
e) Surat Akuan Status Diri
f) Sijil asal dan salinan Nikah ibubapa (Untuk pengantin perempuan sahaja)

Antara dokumen tambahan (JIKA BERKAITAN SAHAJA)
– Salinan surat mati wali ( jika wali meninggal dunia )
– Surat/kad akuan memeluk Islam ( jika saudara baru )
– Sijil Cerai asal (jika duda atau janda)
– Salinan Sijil Kematian (jika balu)
– Surat Kebenaran Berkahwin Luar Kariah @ Luar Negeri (jika bakal suami tinggal berlainan daerah Pejabat Agama Daerah atau di lain negeri)
– Surat Sokongan dari Jabatan Imigresen Malaysia (jika pemohon warganegara yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara )
– Surat Pengesahan Tandatangan Wali jauh (jika wali tinggal jauh dari tempat permohonan)

Langkah 8 : Menghantar borang permohonan lengkap
– Borang permohonan perlu lengkap dan ianya perlu dihantar ke Pejabat Agama Daerah yang terhampir dengan tempat tinggal ibu atau ayah.
– Pastikan sijil asal – Sijil Nikah ibubapa (Untuk pengantin perempuan sahaja) dibawa bersama.
– Temuduga ringkas akan dibuat dan soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan soalan-solan yang biasa sebagai seorang Islam.
– Soalan bergantung kepada budi bicara pegawai yang menemuduga.
– Antara soalan-soalan yang mungkin ditanya adalah : Saya akan kongsikan pada artikel yang akan datang.

Langkah 9 : Sijil Kebenaran Berkahwin (Dalam/Luar Daerah)
– Borang 3 – Kebenaran Pendaftar untuk Berkahwin perlu dibeli semasa menghantar borang permohonan yang lengkap dengan harga RM5/set dan semua maklumat akan diisi oleh Pejabat Agama.
– Semua dokumen yang dilampirkan bersama perlu disertakan dengan 1 salinan.
– Pemohon perlu membeli Borang 6 – Borang Permohonan Untuk Mendaftar Perkahwinan dengan harga RM2.00 dan Borang 8 – Sijil Nikah dengan harga RM10.00

Langkah 10 : Menghantar Borang 3, 6 dan 8 kepada Kadi
– Borang 8 – Sijil nikah hanya boleh diisi oleh Kadi sahaja dan sijil nikah perlu dibeli semula jika diisi oleh pemohon.
– Pejabat Agama Daerah akan memberikan maklumat kadi iaitu nama, alamat dan no telefon untuk pemohon menyerahkan borang-borang tersebut.
– Sesiapa sahaja boleh menyerahkan borang tersebut kepada Kadi.
– Bakal pengantin bolehlah menumpu untuk membuat persediaan yang lain dan menunggu sehingga tarikh akadnya tiba.

Langkah 11 : Hari akad nikah
– Pastinya ini adalah detik-detik yang dinanti.
– Hubungi Kadi 2 atau 3 hari sebelum tarikh pernikahan jika perlu.
– Pastikan semua Wali dan Saksi untuk majlis akad nikah dimaklumkan terlebih dahulu dan membuat persediaan.
– Insyaallah, dengan perancangan yang betul dan baik, segalanya akan dipermudahkanNya.
– Dapatkan mak andam dari bridal2u.com untuk andaman dan solekan ketika hari bersejarah anda nanti. <– promo sikit

Langkah 12 : Pendaftaran dan Borang Permohonan Kad Perakuan Nikah
– Pendaftaran Perkahwinan hendaklah dilakukan dalam tempoh tujuh (7) hari setelah majlis pernikahan dijalankan dengan menggunakan Borang 6 – Borang Permohonan Untuk Mendaftar Perkahwinan
– Kad Perakuan Nikah boleh diperolehi dengan memohon di Bahagian Undang-Undang Syariah Pejabat Agama Daerah dengan bayaran sebanyak RM30 dengan menyertakan borang berikut :
a) Borang permohonan yang lengkap
b) Salinan Kad Pengenalan kedua-dua pihak
c) Salinan Sijil Nikah
d) Gambar berukuran passport (pengantin lelaki dan perempuan).
– Pemohon akan dipanggil semula apabila kad siap.

Sumber rujukan :
1) Prosedur Berkahwin di Negeri Johor
(boleh download) oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor
2) http://www.memoryofatime.com/2011/10/permohonan-pernikahan-di-negeri-johor.html

Penafian :
Segala artikel dan apa jua kandungan di artikel ini adalah sekadar perkongsian pengalaman atau informasi sahaja dan sama sekali tidak boleh dianggap mengandungi nasihat profesional atau sebagai bahan rujukan atau lain-lain tujuan sama ada rasmi mahupun tidak rasmi. Jika terdapat sebarang kesilapan harap dapat maklumkan kepada saya di bridal2u.com@gmail.com

Related posts: